.

Friday, August 15, 2008

Kelab Penyayang UPSI - Menyambung Agenda
Allahyarhamah Endon Mahmood


Peribahasa ada menyebut, ‘Harimau Mati Meninggalkan Belang, Manusia Mati Meninggalkan Nama’ pepatah ini sesuai diberikan kepada Allahyarhamah Datin Seri Endon Mahmood selaku pengasas Yayasan Budi Penyayang Malaysia. Jasa, komitmen dan bakti yang diberikan dalam dunia kebajikan kepada masyarakat amat bermakna sepanjang penglibatan beliau mengasaskan Yayasan Budi Penyayang Malaysia. Beliau bukan sahaja terkenal dengan perjuangan memartabatkan industri batik negara, malah turut terkenal dengan sumbangan yang besar dunia kebajikan.

Atas keprihatinan dan komitmen padu yang pernah ditonjolkan oleh beliau semasa hayatnya, Kelab Penyayang Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah ditubuhkan demi meyambung kontradiksi kerja-kerja amal yang telah dilakukan oleh beliau. Kelab Penyayang UPSI merupakan 17 buah Kelab Penyayang yang wujud di seluruh IPT di Malaysia. Pada 17 September 2007 yang lalu genaplah setahun usia Kelab Penyayang UPSI di bawah kepimpinan Saudara Hairul Faiezi B Lokman dan Penasihat En. Mohd. Halim Bin Mat Zaki.

Walaupun baru berusia setahun Kelab Penyayang UPSI telah banyak melaksanakan beberapa aktiviti kemasyarakatan. Buktinya pada bulan April yang lalu Kelab Penyayang UPSI telah berjaya menerima Anugerah Khidmat Masyarakat semasa Majlis Malam Anugerah Ketrampilan Pelajar UPSI 2006. Dalam memastikan aspek kebajikan serta pendidikan, Kelab Penyayang UPSI yang juga merupakan universiti pendidikan terulung negara, telah memilih Rumah Budi Mulia Nurul Huda, Chemor sebagai rumah angkat. Beberapa siri kunjungan seperti mengadakan sesi motivasi setiap bulan, sumbangan wang tunai, kutipan dana, khidmat akademik dan pemberian bahan-bahan rujukan akademik kepada rumah ini dilakukan bagi memastikan pembangunan akademik rumah anak-anak yatim ini tercapai.

Disamping itu, Kelab Penyayang UPSI juga tidak mengambaikan warga tua apabila turut mengadakan siri lawatan dan kerja amal ke Rumah Warga Tua di Kuala Kubu Bharu. Menurut Presidennya, Hairul Faiezi Bin Lokman 22, pelajar tahun ketiga Sarjana Muda Pendidikan Moral dan Pengajian Am, Kelab Penyayang UPSI akan memberi tumpuan kepada dunia kebajikan masyarakat. Tiga komuniti yang disasarkan ialah anak-anak yatim/miskin, warga tua dan orang kurang upaya.

“Dalam masa terdekat ini, Kelab Penyayang UPSI merangka untuk mengadakan Kempen Kami Disayangi khusus bagi Orang Kurang Upaya (OKU) khasnya mahasisiwa kurang upaya di UPSI. Saya melihat, golongan-golongan ini tidak diendahkan dan kerap kali terabai dari segi khidmat sokongan dan fasiliti di kampus. Kelab Penyayang UPSI juga banyak mendapat sokongan dari Naib Canselor sendiri yang sering turun dalam beberapa siri program yang dianjurkan, begitu juga kerjasama yang padu dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA) serta Yayasan Budi Penyayang Malaysia ” Katanya.

Untuk mempromosikan fungsi dan peranan Kelab Penyayang di UPSI, satu Karnival Penyayang telah diadakan pada bulan Ogos yang lalu. Karnival yang sarat dengan mesej berkaitan khidmat masyarakat ini menghimpunkan kalangan mahasiswa dari seluruh Kolej Kediaman UPSI. Beberapa pertandingan seperti Kuiz Penyayang, Pidato Penyayang, Puisi Penyayang dan buku skrap yang bertemakan budaya bermasyarakat dianjurkan bagi menyampaikan mesej yang sarat dengan isu kemanusiaan. Karnival sehari ini telah berjaya membuka mata mahasisiwa tentang kepentingan membantu golongan kurang bernasib baik.

Dalam menyahut kempen sayangi dan cintai negara, Kelab Penyayang UPSI juga terpilih untuk menganjurkan Gegar U! Warna-Warna Malaysiaku, Satu Lambang Perpaduan pada 10 Ogos yang lalu. Program ini juga turut dilaksanakan oleh beberapa Kelab Penyayang IPT lain di seluruh negara bermula pada bulan Mei sehingga Ogos. Program yang bermatlamatkan cintakan kepada negara dan perpaduan sesama masyarakat ini berjaya menarik perhatian mahasisiwa UPSI. Program yang telah berjaya mengumpulkan satu juta pungutan mesej ini diadakan di UPSI selama satu hari dengan kerjasama dari Yayasan Budi Penyayang Malaysia dan beberapa agensi lain.

Bagi merapatkan hubungan antara Kelab Penyayang IPT lain di Malaysia, Kelab Penyayang UPSI juga telah mengadakan kerjasama dan sesi dialog bersama Kelab Penyayang Universiti Teknikal Melaka (UTEM) pada 11 dan 12 Ogos yang lalu. Program selama dua hari ini telah memberikan pendedahan berkenaan strategi serta kerjasama yang diharapkan dapat dilaksanakan demi menyambung perjuangan Allhayarhamah Datin Seri Endon Mahmood. Dalam program ini juga, Kelab Penyayang UPSI sempat berkunjung ke rumah angkat Kelab Penyayang UTEM di Jasin.
Bagi Fatin Shahamah Samsudin 22, selakau Timbalan Presiden Kelab Penyayang UPSI, Kelab Penyayang UPSI walaupun baru tetapi mempunyai strategi mantap bagi memastikan mahasiswa sedar bahawa dunia kemasyarakatan tidak boleh diabaikan.

“Sebagai mahasiswa, hidup kita bukan hanya difokuskan kepada kuliah dan pembelajaran, tetapi perlu seimbang dari semua aspek. Apatah lagi kami sebagai bakal graduan bergelar pendidik. Perjuangan dan bakti Allahyarham akan kami teruskan begitu juga dengan semua sahabat Penyayang IPT lain di Malaysia”.

0 Pendapat:

 


Design by: Blogger XML Skins | Distributed by: Blogger Templates